Wednesday, June 29, 2011

Dato' Paduka Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim





Dato' Paduka Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim (PENGASAS SILAT SENI GAYONG MALAYSIA)

Guru Silat Seni Gayong ialah allahyarham Dato' Paduka Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim. Beliau ialah seorang berketurunan Raja Bugis dan Arab daripada susur galur Al-Attas.

Moyang beliau yang terkenal berhijrah ke Tanah Melayu ialah Tengku Daeng Kuning. Daeng Kuning merupakan seorang pahlawan terkenal yang digelar sebagai Panglima Hitam. Daeng Kuning dikatakan mewarisi ilmu kependekaran daripada nenek moyangnya seorang pendekar yang dikenali sebagai Pahlawan Gayong.

Pahlawan Gayong ialah seorang pendekar terbilang yang menguasai ilmu persilatan secara zahir dan kebatinan. Beliau amat tersohor di kepulauan Melayu dan digeruni oleh lawannya. Ada sumber yang mengatakan bahawa Dato' Laksamana Hang Tuah adalah pewaris amanah ilmu Pahlawan Gayong. Seterusnya imu tersebut diturunkan kepada Dato' Meor Abdul Rahman sebagai waris zuriat Pahlawan Gayong.

Daeng Kuning berhijrah dari Sulawesi ke Tanah Melayu selepas tahun 1800 Masehi. Penghijrahan tersebut ditemani oleh saudara mara beliau yang terdiri daripada Daeng Merewah, Daeng Celak, Daeng Parani, Daeng Pelangi, Daeng Mempawah dan Daeng Jalak. Mereka tujuh bersaudara belayar ke Tanah Melayu untuk membina penghidupan baru dan menyatupadukan pahlawan-pahlawan Melayu.

Penghijrahan bangsa Bugis ke Tanah Melayu dipercayai bermula dari tahun 1667 Masehi apabila Makasar, Sulawesi jatuh ke tangan Belanda. Pahlawan Bugis yang terkenal di gugusan Melayu pada ketika itu ialah Daeng Rilaka dan lima orang putera beliau bernama Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambun, Daeng Celak dan Daeng Kemasi.

Penghijrahan Daeng Kuning tujuh bersaudara ini berkemungkinan besar susulan daripada dasar campurtangan Kerajaan Belanda yang semakin berleluasa di Kepulauan Sulawesi. Ada sumber yang mengatakan bahawa Daeng Kuning adalah zuriat keturunan Daeng Merewah bin Daeng Rilaka. Dua buah rombongan ini sudah pasti terdiri daripada orang yang berlainan walaupun ada persamaan pada sesetengah nama. Ini berdasarkan perbezaan masa yang agak ketara. Walau bagaimanapun, kaitan kekeluargaan antara satu sama lain tidak dinafikan.

Penghijrahan tujuh bersaudara tadi bukanlah bermaksud lari daripada medan peperangan , ia sebenarnya satu cara untuk menyusun strategi balas. Matlamat mereka ialah untuk mengumpulkan para pahlawan Melayu bagi menentang kuasa-kuasa asing yang menjajah negeri-negeri di Nusantara.

Daeng Kuning dan saudaranya telah mempelopori gerakan gerila untuk melumpuhkan pentadbiran penjajah di negeri-negeri Melayu. Walaupun ramai pahlawan Bugis terlibat secara langsung dengan kancah politik negeri-negeri Melayu seperti di Sumatera, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, Temasik dan Kepulauan Riau, namun mereka tidak bersatu-padu. Malahan, ada di antara mereka yang menjadi askar upahan kuasa-kuasa asing dan berperang sesama sendiri.

Sumber: webmaster@gayong.org

No comments:

Post a Comment